Sekolah Hasilkan Jalur Gemilang Terpanjang Guna Botol Minuman
Oleh Nur Adika Bujang
MEMBAKUT, 11 Sept (Bernama) -- Siapa menyangka jaluran pada botol minuman air mineral mencetuskan idea kepada seorang guru untuk menghasilkan pola Jalur Gemilang terpanjang di Malaysia?
Tiga tahun lepas, Emong Angkui, yang juga seorang kaki pancing, sedang minum air mineral daripada botol bersaiz 500ml sambil menunggu ikan mengena umpan pada mata kail pancingnya.
"Saya lihat botol itu mempunyai jaluran dan saya terus terbayangkan Jalur Gemilang.
"Saya terfikir kenapa tidak lukiskan Jalur Gemilang pada botol itu. Tetapi botol itu terlalu kecil untuk menonjolkan kelainan," katanya kepada Bernama selepas pola Jalur Gemilang terpanjang menggunakan botol minuman dilancarkan oleh anggota Dewan Undangan Negeri Membakut Datuk Mohd Arifin Arif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick di sini , Jumaat.
Projek menghasilkan pola Jalur Gemilang daripada botol minuman itu bukan sahaja dikatakan oleh Emong sebagai yang terpanjang, malah menggunakan jumlah botol terbanyak.
Katanya seramai 40 guru dan 200 pelajar SMK St Patrick menggunakan 26,236 botol kecil terbuang untuk menghasilkan pola bendera yang berukuran 196 meter panjang dan 2.94 meter lebar.
Menurut Emong, yang merupakan pengarah projek itu, sejak usaha itu dilancarkan pada 2007, setiap pelajar dikehendaki mengumpul sekurang-kurangnya 10 biji botol sebulan.
Katanya kerja menghasilkan bendera itu bermula pada Julai lepas dan siap dalam tempoh sebulan.
"Melalui penghasilan Jalur Gemilang ini, pelajar akan lebih memahami erti kerjasama berpasukan kerana setiap pelajar yang terlibat telah mengorbankan masa mereka untuk menyiapkan bendera ini," katanya.
Pengetua SMK St Patrick, Elizabeth Mak berkata penghasilan Jalur Gemilang itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara dan tanda sokongan sekolah itu terhadap usaha kerajaan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.
Beliau berkata selepas pelancaran Jalur Gemilang itu, sekolahnya akan mengemukakan permohonan kepada Malaysia Book of Records (MBR) untuk dicatatkan sebagai sekolah yang berjaya menghasilkan Jalur Gemilang terpanjang menggunakan botol minuman 500ml terbanyak.
"Kami yakin rekod ini akan dicatatkan dalam MBR kerana rekod yang disandang sekarang mempunyai ukuran 26 meter panjang, 11.2 meter lebar dan menggunakan 12,866 botol," katanya.
Terdahulu, Mohd Arifin menghadiahkan RM5,000 kepada sekolah itu ekoran kejayaan menghasilkan Jalur Gemilang terpanjang itu.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM3,000 setahun akan diberikan kepada setiap sekolah menengah dan RM2,000 setahun kepada setiap sekolah rendah di Membakut mulai tahun depan.
Terdapat tiga sekolah menengah dan 14 sekolah rendah di Membakut.
-- BERNAMA

0 comments:
Post a Comment